Friday, July 1, 2011

Bengkel penyelarasan martabat bola sepak

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhsukan@bharian.com.my
2011/07/01

DEMI memartabatkan pembangunan bola sepak negara, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran ) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulakan langkah lebih drastik menerusi Bengkel Penyelarasan dan Pembangunan Bola Sepak Negara di Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

Bengkel dihadiri lebih 40 jurulatih seluruh negara itu memberi fokus terhadap latihan persediaan fizikal pemain bola sepak muda seawal usia 12 tahun, tugas serta fungsi kejurulatihan, teknik permainan serta kaedah pemilihan dan ujian.
Timbalan Menteri Belia dan sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, program ini sudah berjalan lebih awal dan bengkel itu memastikan kesinambungan bagi melengkapkan program pembangunan di peringkat sekolah dan akar umbi.
"Sasaran kita adalah bakat kecil terutama pelajar seawal usia 12 tahun untuk menjalani latihan bola sepak dengan bimbingan jurulatih yang dilantik, dipilih secara berperingkat dan sasaran itu adalah permulaan kepada hasrat membentuk skuad remaja kebangsaan layak ke kejohanan Piala Remaja Dunia 2019 nanti," katanya selepas merasmikan bengkel berkenaan.

Bagi Ketua Jurulatih Remaja Perak, Raja Azlan Shah Raja Shoib, bengkel itu menjadi kaedah terbaik dalam membangunkan kualiti bola sepak negara.

Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sembilan, Ahmad Othman pula berkata, bengkel kejurulatihan itu penting untuk mencari platform keseragaman di setiap negeri.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM1.7 juta kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk pembangunan bola sepak secara menyeluruh di peringkat sekolah.
Daripada jumlah itu, RM800,000 digunakan bagi penganjuran Liga KPM, RM500,000 bagi peralatan sukan dan RM400,000 untuk Karnival Sukan Berprestasi Tinggi manakala selebihnya diperuntukkan kepada sekolah.

No comments:

Post a Comment