Monday, July 30, 2012

2012 Saitama International Junior Football Tournament U12 – Hari Keenam







































Salam Ramdhan dari Saitama,

Hari ini merupakan hari keenam kejohanan dan merupakan hari terakhir bagi kejohanan ini. Pada hari ini akan dijalankan perlawanan bagi penentuan tempat ke 3 dan ke 4 serta perlawanan akhir. Malaysia akan beraksi di perlawanan penentuan bagi tempat ke 3 dan ke 4 menentang Pasukan Kebangsaan Thailand yang merupakan juara bertahan kejohanan ini pada tahun 2011. Kami bergerak ke Stadium Saitama pada jam 9.00 pagi. Pemain begitu bersemangat untuk menebus kekalahan pada separuh akhir semalam dan bertekad untuk menjinakkan Thailand bagi merebut tempat ke 3 dalam kejohanan ini. Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan ini ialah tempat ke 3 yang dicapai pada tahun 2005 iaitu 7 tahun yang lepas. Thailand pada kali ini membariskan pasukan kebangsaan bawah 12 tahun mereka di samping membawa pasukan bantuan yang cukup lengkap termasuk kitman, cameraman dan juga penganalisis perlawanan. Pegawai dari Kedutaan Thailand juga turut hadir bagi memberi semangat kepada pasukan ini. Namun semua ini tidak menggugat semangat pemain Malaysia. Berikut merupakan analisis perlawanan terbabit :

Malaysia vs Thailand
Venue : Stadium Saitama, 2nd Ground
Jam : 12.00 tengahari waktu Jepun ( 11 pagi waktu Malaysia )

Perlawanan bermula rancak dengan Thailand melancarkan serangan bagi mencari kelebihan gol di awal permainan. Skil individu dan taktikal permainan antara 2 pasukan tidak banyak berbeza. Thailand bermain agak keras dalam perlawanan ini. Walaupun begitu, pemain Malaysia tetap tenang dalam menghadapi taktik permainan pasukan Thailand. !0 minit pertama Thailand banyak melancarkan serangan ke kubu pasukan Malaysia. Hasil dari serangan ini, Thailand berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke  8 melalui set piece dari sepakan percuma. Hasil dari gol ini, jurulatih telah melakukan beberapa perubahan taktikal dengan memasukkan beberapa pemain yang mempunyai kelebihan larian. Strategi ini memberi hasil dengan Malaysia melancarkan beberapa serangan yang mencemaskan kubu Thailand. Pada separuh masa pertama, Malaysia melancarkan 5 kali percubaan dengan 2 percubaan tepat ke arah gol.

Pada separuh masa kedua, Malaysia menukar rentak permainan dengan mengamalkan corak permainan menyerang. Pada minit ke 15, hasil daripada sepakan penjuru, Malaysia berjaya menjaringkan gol melalui tandukan cantik dari pemain pertahanan negara iaitu Arham Khusairi. Gol ini menyaksikan Thailand gagal mengimbangi corak permainan Malaysia dengan Malaysia berjaya melancarkan beberapa serangan namun tiada penyudah gol yang berjaya dilaksanakan. Tamat masa penuh permainan dengan kedua pasukan terikat satu sama.

Akhirnya, perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti. Pemain negara masih lagi dihantui dengan kekalahan kepada Saitama dengan sepakan penalti pada perlawanan separuh akhir. Jurulatih memberi motivasi dan keyakinan kepada pemain untuk lebih berani bagi mengambil sepakan penalti. Keadaan genting dengan pasukan Thailand dan Malaysia berbalas gol dalam penalti ini sebelum penjaga gol Malaysia iaitu Mifzal Haziq muncul wira pasukan dengan menyelamatkan 2 sepakan penalti dari Thailand. Keputusan penuh Malaysia menang dengan sepakan penalti dengan jaringan 4 gol berbalas 3.

Sementara perlawanan  akhir kejohanan ini menemukan dua pasukan berikut :

Saitama vs Saitama South
Venue : Stadium Saitama, Main Pitch
Jam : 1.30 petang waktu Jepun ( 12.30 tengahari waktu Malaysia )

Corak permainan laju dan skil kemahiran tinggi dipertontonkan oleh kedua pasukan dalam perlawanan ini. Apa yang menarik dalam perlawanan ini ialah ia dikendalikan seperti perlawanan profesional di mana dalam umur yang masih muda, pemain - pemain yang beraksi dalam perlawanan akhir ini didedahkan dengan suasana perlawanan sebenar di stadium utama. Ketika perlawanan berlangsung, aksi pemain - pemain ini turut dipaparkan di scoreboard utama stadium. Pada akhir perlawanan, pasukan Saitama South menang dengan jaringan 2 berbalas 1. Gol kemenangan diperolehi melalui sepakan lambung yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Saitama yang menyaksikan bola bergolek masuk ke dalam gol dan menyaksikan Saitama South dinobatkan selaku juara kejohanan ini. Acara penyampaian hadiah berlangsung pada jam jam 2.30 petang dan disampaikan oleh Gabenor Saitama iaitu Mr. Kiyoshi Ueda.

Berakhir sudah 2012 Saitama International Junior Football Tournament U12 dengan pasukan Malaysia berjaya mengulangi pencapaian terbaik pada tahun 2005 dengan berjaya menduduki tempat ke 3 daripada keseluruhan 24 pasukan yang bertanding. Dari 6 pasukan negara jemputan, Malaysia  berjaya mempamerkan aksi yang terbaik dengan berjaya memperolehi tempat ke 3. Banyak yang masih perlu dipelajari oleh pemain - pemain Malaysia untuk bersaing terutamanya dengan Negara Jepun yang terkenal dengan motto " Training with your rivals ". Jepun menganjurkan kejohanan ini dengan strategi untuk mendedahkan pemain - pemain remaja mereka yang bermula dengan umur 12 tahun dengan corak permainan pasukan dari negara luar.

Pada 30 Julai 2012, kami akan bertolak pulang dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH 0089 yang dijadualkan akan berlepas pada jam 1030 pagi dari Lapangan Terbang Narita dan dijangka sampai di KLIA pada jam 4.45 petang. Sekian sahaja laporan terakhir dari Saitama untuk kejohanan ini.

Arigato Gozaimas.
Mata Aimasho.

Mohd Fairul Fadzli Bin Ahmad Muzni

2012 Saitama International Junior Football Tournament U12 – Hari Kelima

















































Salam Ramadhan,

Hari ini merupakan hari kelima kami berada di bumi matahari terbit. Pada hari ini Pasukan Malaysia akan menghadapi 2 perlawanan yang genting iaitu perlawanan di peringkat suku akhir dan separuh akhir. Pada hari ini pasukan akan bermain di Hachioji iaitu salah satu bandar yang terletak di Barat pusat Bandar Tokyo. Pasukan bertolak dari hotel penginapan ke Hachioji pada jam 8.00 pagi dan sampai ke padang pada jam 8.45 pagi. Padang di Hachioji ini merupakan padang sintetik yang dijaga rapi oleh pihak pengurusan kompleks terbabit. Cuaca panas dengan anggaran suhu 37 darjah celcius. Daerah Hachioji ini pernah menjadi venue bagi sukan Berbasikal pada temasya Olimpik musim panas pada tahun 1964. Pada hari ini  Malaysia akan bermain pada jam 10.00 pagi dengan Pasukan Chiba FC menanti di peringkat suku akhir.Berikut merupakan analisis perlawanan terbabit :

Pada perlawanan penentuan ke separuh akhir ini, pemain menunjukkan kesungguhan yang tinggi semenjak perlawanan bermula. Hasil dari serangan yang dijalankan, Malaysia berjaya memperolehi gol pada minit ke 9 hasil jaringan Muhammad Hadi Fayadh. Tempo permainan pada separuh masa pertama agak perlahan dengan kedua - dua pasukan bermain secara berhati - hati. Pemain - pemain pasukan Chiba FC mempunyai teknikal dan skil kawalan bola yang baik. Bagi mengekang corak permainan ini, pemain Malaysia sentiasa menekan pasukan lawan dengan tidak membenarkan pemain - pemain Chiba FC memegang bola dengan lama. Pada separuh masa kedua, Malaysia memperlahankan tempo permainan tetapi berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke 38 oleh Muhammad Iqbal Hakim. Keseluruhan hanya 5 percubaan ke arah gol yang berjaya dihasilkan oleh Malaysia dan 2 gol berjaya dihasilkan. Pemain pertahanan berjaya menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh jurulatih dengan mengawal ketat key player pihak lawan dan berjaya mengawal kubu Malaysia daripada bolos.

Secara keseluruhannya, pemain berjaya menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan disiplin permainan yang baik serta berjaya melakukan tugas dengan baik termasuk pemain yang masuk sebagai pemain gantian.Pemain menggunakan peluang yang terhasil dengan baik dan tepat. Kemenangan ini memastikan slot ke separuh akhir bagi Malaysia. Untuk makluman, Chiba merupakan pasukan favourite dalam kejohanan ini.

Pada perlawanan separuh akhir, Malaysia bertemu dengan pasukan Saitama. Berikut merupakan analisa perlawanan terbabit :

Pada perlawanan ini, pemain kelihatan tidak cergas sepenuhnya memandangkan tempoh rehat 2 jam sahaja selepas perlawanan suku akhir. Saitama membuka jaringan seawal minit ke 8 dan ini membuatkan para pemain tersentap dan terkejut dengan jaringan tersebut. Ini seterusnya menjejaskan rentak dan tempo permainan pasukan yang menyaksikan tiada sebarang peuang yang berjaya dicipta oleh barisan tengah dan serangan negara. Malaysia hanya mengamalkan corak permainan bertahan dan bermain secara counter attack kerana Saitama mengusai bahagian tengah dan pemain tengah Saitama sentiasa mengawal rapi bahagian tengah Malaysia. Didapati tahap kawalan bola dan kemahiran teknikal Saitama begitu tinggi untuk disaingi oleh pemain Malaysia. Jurulatih mengambil keputusan untuk melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Muhammad Alif Safwan dan memasukkan Alif Haikal bagi mengukuhkan bahagian tengah. Kemasukan pemain ini telah mengubah corak dan tempo permainan pasukan. Pada separuh masa kedua, Malaysia menguasai permainan sepenuhnya dengan berjaya menguasai kawalan bola dan melancarkan 5 percubaan tepat ke arah gol dan berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke 25 melalui Muhammad Iqbal Hakem . Barisan pertahanan negara nampak goyah pada permulaan permainan sebelum berjaya bermain dengan baik pada separuh masa kedua.40 minit masa permainan berakhir dengan keputusan 1 - 1. Permainan dilanjutkan dengan penentuan sepakan penalti di mana 3 pemain negara gagal menyempurnakan sepakan penalti. Keputusan berakhir dengan Malaysia kecundang di tangan Saitama dengan keputusan sepakan penalti 4 berbalas 1.

Walaupun tewas pada perlawanan ini, namun para pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam menyaingi Pasukan Saitama yang memliki kemahiran teknikal dan kawalan bola yang baik. Rata - rata pasukan dari Jepun memiliki skil kemahiran individu yang tinggi. Ini merupakan hasil dari program pembangunan bola sepak Jepun yang menekankan aspek teknikal dan kemahiran serta kelajuan dalam permainan. Hanya air mata pemain yang mengiringi kegagalan Pasukan Malaysia untuk mencipta sejarah bagi melangkah kaki ke peringkat akhir buat kali pertama.

Pada hari esoknya, Malaysia akan bertemu Thailand yang turut tewas dalam perlawanan separuh akhir melalui sepakan penalti dalam penentuan tempat ke 3 dan ke 4. Berikut merupakan jadual perlawanan untuk 29 Julai 2012 :

Penentuan tempat ke 3 dan ke 4

Malaysia vs Thailand
Venue : Stadium Saitama, 2nd Ground
Jam : 12.00 tengahari waktu Jepun ( 11 pagi waktu Malaysia )

Perlawanan Akhir

Saitama vs Saitama South
Venue : Stadium Saitama, Main Pitch
Jam : 1.30 petang waktu Jepun ( 12.30 tengahari waktu Malaysia )


Upacara penyampaian hadiah akan dilangsungkan pada jam 2.30 petang. Walaupun impian untuk melangkah kaki buat pertama kali ke perlawanan akhir tidak kesampaian, namun diharapkan pemain - pemain muda negara tidak patah semangat dalam pemburuan tempat ketiga dalam kejohanan ini. Kemenangan tempat yang ketiga akan menyamai pencapaian terbaik skuad negara pada tahun 2005. Sekian sahaja laporan saya dari Saitama, Jepun. Doakan kejayaan untuk skuad negara pada perlawanan esok hari.

Mata Aimasho.

Mohd Fairul Fadzli Bin Ahmad Muzni
Ketua Unit
Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Kedah