Thursday, June 30, 2011

Majlis Perasmian Bengkel Penyelarasan Bola Sepak dan Pelancaran Logo Program Pembangunan Bola sepak Negara



Kuala Lumpur - Pihak Majlis Sukan Negara selaku urus setia Program Pembangunan Bola Sepak Negara iaitu program nasional usahasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memartabatkan mutu sukan bola sepak negara telah mengadakan Majlis Perasmian Bengkel Penyelarasan Bola Sepak dan Pelancaran Logo Program Pembangunan Bola Sepak Negara di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur pada 29 Jun 2011.

Majlis perasmian dan pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Razali Hj. Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara. Turut hadir adalah YBhg. Dato' Zolkples Embong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN). Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan lain iaitu YBhg. Dato' Hamidin Mohd Amin, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM); YBhg. Dato' Azzuddin Ahmad, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuan Haji Harmiles Daramin, wakil dari Kementerian Pelajaran Malaysia, YBhg. Datuk Dell Akbar Khan, ahli-ahli Jawatankuasa Pembangunan Bola Seoak Negara dan lain-lain tetamu jemputan yang terdiri daripada Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN), penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol dan Ketua Unit Sukan Negeri / Pengerusi Teknik Negeri Sukan Bola Sepak / wakil.

Majlis turut mengumumkan pelantikan En. Lim Kim Chon sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia merangkap Ketua Pembangunan Bola Sepak Remaja Kebangsaan bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara. Beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk merancang, menyelaraskan dan memantau program pembangunan bola sepak di semua peringkat umur. En. Lim Kim Chon berpengalaman luas di dalam program pembangunan bola sepak di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknikal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari tahun 1999 hingga 2001 sebelum diberi kepercayaan dan dinaikkan pangkat untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal AFC dari tahun 2001 hingga 2004. Selain itu, En. Lim Kim Chon juga adalah ahli kumpulan 'Technical Study Group (TSG)' yang telah dilantik oleh pihak 'Federation Internationale de Football Association (FIFA) untuk bertugas semasa Piala Dunia Korea / Japan 2002 dan Piala Dunia Germany 2006. Adalah satu penghormatan buat Malaysia apabila beliau dipilih sebagai salah seorang daripada dua (2) wakil dari setiap benua untuk membentuk FIFA TSG. Hanya 12 individu berkelayakan dari seluruh dunia dilantik oleh pihak FIFA untuk bertugas sebagai ahli TSG semasa Piala Dunia berlangsung. Didoakan semoga pengalaman luas beliau khususnya di dalam program pembangunan bola sepak dapat membentuk satu kelompok pemain muda berkualiti yang dapat merealisasikan impian Malaysia untuk beraksi buat julung kali di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Bengkel Penyelarasan Bola Sepak yang dikelolakan buat julung kali melalui program ini melibatkan penyertaan 12 Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) dan 38 pembantu jurulatih yang 11 daripadanya adalah merupakan jurulatih penjaga gol. Hanya KJRN dari Perlis dan Pahang yang tidak dapat hadir untuk bengkel selama enam (6) hari kendalian En. Lim Kim Chon dan dibantu En. Lim Chuan Chin yang akan bertanggungjawab untuk membentuk satu kumpulan jurulatih penjaga gol yang berkualiti. 


Sekian, laporan dari Unit Bakat - Bola Sepak.

Friday, June 24, 2011

Sekitar Perlawanan Bola Sepak Kelayakan Olimpik 2012



Malaysia 2 Lubnan 1

Walaupun ramai yang merasakan peluang pasukan Malaysia agak tipis namun pasukan muda ini berjaya membuktikan ramuan yang diatur oleh jurulatih berjaya merobek benteng pertahanan pasukan Lubnan.

Peminat bola sepak mula memasuki stadium Nasional Bukit Jalil seawal jam 5 dengan pasukan Ultras Malaya menghangatkan suasana dengan sorakan dan laungan yang mengentarkan jiwa. Walaupun jumlah penonton kurang berbanding perlawanan akhir piala AFF namun ia tidak melunturkan semangat pemain-pemain yang berjaya meledakkan 2 gol pada separuh masa pertama.

Kekasaran yang dilakukan oleh Gary Steven yang seterusnya dilayangkan kad merah hampir-hampir meranapkan peluang negara untuk layak ke pusingan seterusnya. Apapun pujian harus diberikan kepada pasukan ini kerana berjaya membukti Malaysia Boleh.

Sedikit Maklumat Berkenaan Kelayakan Olimpik Harimau Muda

For Information 12 teams qualified to Second Round
(Grouping Stage) for Olympic Games Qualifier Asian Zone.

Middle East Country
1. Qatar 2. Iraq 3. Bahrain 4. Syria 5. United Arab Emirates 6. Saudi Arabia 7. Oman

East Asia
8. Japan 9. South Korea

South Asia
10. Uzbekistan

South East Asia
11. Malaysia
12. Australia


Second round
Main article: 2012 AFC Men's Pre-Olympic Tournament Second Round
The 12 winners above from the first round will be drawn into 3 groups of 4. The winner of each group will advance to the Olympic Games while each runner-up will advance to the play-off round. The draw will be held at the AFC House on July 7.[5]

Matches are scheduled for 21 September 2011, 23 and 27 November 2011, 5 and 22 February 2012 and 14 March 2012.

Play-off round

The three runners-up from the second round groups will play each other at a neutral venue on 25, 27 and 29 March 2012. The winner of the group will advance to play the fourth-ranked CAF team in a play-off for a spot at the Olympic Games.

Pusat Latihan Daerah (PLD) Kementerian Pelajaran Malaysia

Berikut adalah maklumat pusat-pusat dibawah Pusat Latihan Daerah (PLD) Kementerian Pelajaran Malaysia yang diletakkan dibawah inisiatif Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara.

Melalui program kerjasama ini, pihak Jawatankuasa membantu pihak KPM dalam melaksanakan program bola sepak di daerah-daerah secara lebih meluas lagi.




Kami mampu gegar: Kim Swee

Oleh Syed Riduan Ahmad dan Nasaruddin Parzi
2011/06/24

PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan menewaskan Lubnan 2-1 bersama penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Samir terima kekalahan tapi tetap anggap Lubnan kurang nasib baik

ONG Kim Swee menyuarakan rasa yakin skuad Olimpik negara mampu membuat kejutan di pusingan ketiga nanti selepas menyaksikan anak didiknya itu menewaskan Lubnan 2-1, malam tadi.

“Kita sedar pusingan ketiga nanti memang sukar, tetapi jika corak permainan sama dan disiplin tinggi dipamerkan, kita mampu membuat kejutan,” kata jurulatih skuad Harimau Muda itu pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebaik tamat pusingan kedua kelayakan.
“Walaupun terpaksa bertahan dengan hanya 10 pemain sepanjang 40 minit terakhir, pemain menunjukkan semangat tinggi untuk menang dan sepanjang tempoh itu juga saya tetap yakin kita mampu layak.
“Selepas ini lebih banyak halangan akan dihadapi skuad muda ini dan saya anggap ia sebagai proses pembelajaran yang tidak akan habis. Ini adalah permulaan kepada bola sepak negara.”

Malaysia layak atas agregat 2-1 selepas seri 0-0 dalam perlawanan pertama di Beirut, Ahad lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih Lubnan, Samir Saad menerima dengan hati terbuka kekalahan pasukannya yang dirasakan mempunyai lebih banyak peluang berbanding tuan rumah tetapi hanya mampu menjelmakan satu gol.

“Malaysia mencipta dua atau tiga peluang pada babak pertama tetapi berjaya menjaringkan dua gol, Lubnan pula mempunyai 10 hingga 15 peluang, tetapi hanya menyempurnakan satu gol,” kata Samir.
“Kami mempunyai lebih banyak peluang apabila Malaysia kehilangan seorang pemain, tetapi pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan padu penonton bermain dengan semangat tinggi untuk mempertahankan kelebihan.

“Bagi saya secara keseluruhan, pemain saya beraksi baik sepanjang 90 minit, cuma kami banyak terlepas peluang menyamakan kedudukan.”

Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kementerian Pelajaran Malaysia

Berikut adalah senarai pusat bolah sepak di Sekolah Sukan Negeri dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang diletakkan dibawah inisiatif jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara. Melalui program kerjasama ini pihak Jawatankuasa akan membantu pihak KPM didalam melaksanakan program latihan di SSN tersebut dalam bentuk bantuan peruntukan, pertandingan, peralatan dan kejurulatihan.

MYkids Soccer: SMK Section 11 Shah Alam Selangor

Cadangan penubuhan pusat MyKids Soccer di Selangor. Pengarah Teknikal akan mengadakan lawatan ke pusat-pusat yang di cadangkan untuk tujuan pemeriksaan dan pengesahan sebelum memulakan program di sekolah-sekolah yang berkenaan.


MYKid Soccer: SMK Meru Klang Selangor


MYKids Soccer: Kajang High School


Thursday, June 16, 2011

KURSUS JURULATIH BOLASEPAK PROFESIONAL PERINGKAT ANTARABANGSA







KURSUS JURULATIH BOLASEPAK PROFESIONAL PERINGKAT ANTARABANGSA KE 20 DI SAO POULO BRAZIL DARI 23 – 27HB. MEI 2011

Penginapan peserta : Hotel San Raphael, Sao Paulo
Kursus : Teori di Stadium Paceambu / Praktikal di Stadium ‘Nacional Athletic Club’

PESERTA
1. Liew Chuan Fue (Brunei)
2. Rosanan Samak (Brunei)
3. Saswadimata Dasuki (Singapore)
4. Franklin Muescan (Filipinas)
5. Nursaelan Santoso (Indonesia)
6. Veunsavanh Sivisay (Laos)
7. Hussin Aminuddin (Maláysia)
8. Tin Myint Aung (Mianmar)
9. Cadrivel Dorasami (Mauricio)
10. Shahzad Anwar (Paquistão)
11. Amarsaikhan Undral (Mongólia)
12. Kawin Kachendecha (Tailandia)
13. Hemed Suleiman Ali (Tanzania)
14. Orlando Henrique Mendes (Timor-leste)
15. Quang Há Trieu (Vietnã)
16. Emelda Mmatsie Tumetsane (Botsuana)
17. Pradip Kumar Brahma (Índia)
18. Aslam Ahmed Khan (Índia)
19. Khalid Ahmed Jamil (Índia)


PENGENALAN

Kursus ini diadakan dengan jemputan dari kerajaan Brazil melalui Kementerian Luar Negaranya kepada Negara – Negara anggota ‘FEALAC’ yang dianjurkan oleh Kesatuan Jurulatih Profesional Negeri Sao Paulo.

Penganjuran kursus ini dibuka kepada semua jurulatih professional di Brazil dan dari luarnegara. Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pertukaran idea kepada peserta – peserta mengenai aspek bolasepak terkini di Brazil dan peringkat antarabangsa.

KEHADIRAN

Keseluruhannya seramai 130 orang peserta telah menghadiri kursus ini. Negara – Negara anggota ‘FEALAC’ seramai 19 orang jurulatih telah hadir. Negara – Negara yang lain termasuk 11 peserta dari IR Iran, seorang dari Afrika Selatan, Turki, Colombia dan selebihnya dari seluruh pelusuk Brazil.

Tuesday, June 14, 2011

Pertandingan Piala Dato MS Maniam, Kapar Kelang



Salam 1 Malaysia


Pertandingan Bolasepak Bawah 12 Tahun peringkat Sekolah Tamil seluruh Malaysia yang dikenali dengan Piala Dato` MS Maniam telah diadakan pada 10 & 11 Jun 2011 bertempat di Padang Bola TNB Kapar, Klang, Selangor

Pertandingan ini dianjurkan bersama oleh Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia (MIYDF dan Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA)

Sebanyak 20 buah sekolah rendah Tamil seluruh Malaysia telah menyertai pertandingan tersebut dengan bilangan penyertaan seramai 400 pemain peringkat umur 12 tahun.

Piala ini telah masuk tahun ke-6 kejohanan yang mana ianya mula dipertandingkan semenjak tahun 2006 lagi. Juara bawah 12 tahun peringkat negeri di pilih melalui kejohanan sekolah-sekolah Tamil peringkat negeri yang berlangsung pada bulan Mac 2011.

Kejohanan Piala Dato` MS Maniam akan diadakan setiap tahun di mana ia akan dianjurkan secara bergilir untuk setiap negeri.

Setiap pasukan telah disyaratkan mempunyai jurulatih berkelayakan minima lesen B.

Kejohanan yang telah dianjurkan oleh pihak M.I.F.A diwujudkan adalah bertujuan sebagai satu platform mengenalpasti bakat-bakat muda dari kalangan pemain-pemain berketurunan Hindu di peringat negeri amnya serta khususnya peringkat negara.

SJK(T) Sg Renggam,Shah Alam,Selangor berjaya menjadi Johan Pertandingan dengan menewaskan SJK (T) Jalan Haji Manan, Kluang , Johor dengan keputusan 1 -0


Terima kasih

Laporan di sediakan oleh:-
IBRAHIM HJ MOHAMED

Sunday, June 5, 2011

Akademi Bola Sepak diwujudkan bagi melahirkan pemain berkualiti - Ahmad Shabery Cheek

Selasa Julai 6, 2010

DALAM usaha melahirkan pemain bola sepak berkualiti bagi mewakili negara di peringkat antarabangsa, Kementerian Belia dan Sukan akan mewujudkan beberapa akademi bola sepak kebangsaan.

Akademi yang akan dilaksana mengikut model pembangunan kelab Eropah yang berjaya itu akan berperanan mendidik dan melatih kanak-kanak dari seawal usia lapan tahun.

Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak yang ditubuhkan kementerian sedang mengenalpasti beberapa tapak untuk menjayakan projek itu, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Gelanggang Sukan Pelbagaiguna Sungai Daun Tengah, di sini semalam, beliau berkata akademi itu memerlukan kawasan yang besar kerana ia memerlukan banyak padang dan infrastruktur lengkap.

"Banyak aspek infrastruktur asas kita tidak lengkap termasuk jenis rumput di padang. Malah tiada satu pun boleh diguna untuk mendidik dan melatih kanak-kanak bermain bola sepak cara sebenar mengikut standard antarabangsa.

"Infrastruktur yang ada lebih untuk aksi antarabangsa. Ini antara isu yang diteliti dan menjadi keutamaan jawatankuasa itu kerana kos penyediaannya sangat besar," katanya.

Mengenai cadangan supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membenarkan semula khidmat pemain import bagi merancakkan Liga Malaysia dan meningkatkan mutu bola sepak negara, Ahmad Shabery berkata setiap pasukan perlu melihat kemampuan kewangan mereka.

"Dulu syarikat rokok menjadi penaja utama tetapi tidak dibenarkan lagi. Saya bimbang keghairahan mendapatkan pemain import boleh menyebabkan ada negeri tidak mampu membayar gaji pemain dan isu baru pula timbul," katanya.

Beliau berkata jumlah wang yang banyak bagi membayar pemain import sebaiknya diguna untuk melaksanakan program pembangunan dan membina pasukan pelapis.

Sementara itu, beliau berkata kementerian akan menjenamakan lebih 1,200 gelanggang futsal di seluruh negara sebagai Gelanggang Futsal 1Malaysia sebagai kaedah untuk golongan remaja menghayati konsep 1Malaysia melalui sukan. - BERNAMA

Friday, June 3, 2011

Kompleks Futsal Putrajaya dirasmikan

Oleh HELMI TALKAH


SULTAN Ahmad Shah menandatangani plak ketika merasmikan Gelanggang Mokhtar Dahari sambil disaksikan Shabery (dua dari kiri) dan timbalannya, Datuk Razali Ibrahim (kanan) di Kompleks Futsal Putrajaya semalam.


KOMPLEKS Futsal Putrajaya telah dibuka secara rasminya semalam.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan Kompleks Futsal Putrajaya yang menelan kos RM3.4 juta itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, fasa pertama pembinaan kompleks di Presint 18, Putrajaya itu berjaya disiapkan dalam tempoh 40 hari.

“Secara keseluruhannya, kompleks ini menempatkan 11 buah gelanggang dan pembinaan setiap gelanggang tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Ini merupakan fasa pertama manakala fasa kedua dijangka siap sepenuhnya November depan.

“Satu gelanggang utama yang diberi nama Gelanggang Mokhtar Dahari akan dijadikan sebagai gelanggang tertutup dengan dilengkapi 1,000 tempat duduk grand stand,” jelas Shabery semasa berucap pada majlis perasmian kompleks itu di Putrajaya semalam.

Shabery menambah, kompleks futsal yang baru siap dibina itu akan menjadi gelanggang rasmi bagi penganjuran Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Mei ini sempena sambutan Hari Belia Negara 2010.

Pada kejohanan tersebut, lima kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 18 Tahun, Lelaki Bawah 12 Tahun dan kategori baru iaitu Larut Malam.

Sempena majlis perasmian Kompleks Futsal Putrajaya semalam, satu kejohanan mini futsal turut diadakan melibatkan beberapa syarikat korporat di negara ini.


SULTAN Ahmad Shah (kanan) diiringi Shabery (tengah) dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman (kiri) melawat Gelanggang Mokhtar Dahari di Putrajaya semalam.


Tujuan kejohanan itu diadakan adalah bagi mengumpul dana Tabung Pembangunan Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lalu.

Antara syarikat yang memberikan sumbangan ialah 100Plus, Astro, Aiman Motor Sdn. Bhd. dan Berjaya Group apabila masing-masing menyalurkan wang tunai berjumlah RM10,000.

“Sejak tabung ini dilancarkan oleh Perdana Menteri dengan suntikan dana permulaan sebanyak RM10 juta, kini sebuah Jawantankuasa Tabung Bola Sepak Negara ditubuhkan.

“Buat masa ini, jawatankuasa berkenaan masih belum mempunyai pengerusi tetap dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai pengerusi sementara.

“Dengan penubuhan jawatankuasa ini, pelbagai program terhadap pembangunan bola sepak negara sedang giat diusahakan termasuk satu perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama kelab England, Everton pada 9 Mac lalu,” kata Shabery.

Jawatankuasa tersebut dianggotai wakil-wakil dari Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pihak media dan wakil kelab penyokong.

Dalam pada itu, Perbadanan Putrajaya muncul juara kejohanan mini futsal apabila membenam MSN 2-0 pada aksi final.

Pasukan pilihan Menteri Belia dan Sukan pula terpaksa akur dengan kehebatan pasukan pilihan FAM apabila tewas 1-5 pada perlawanan pertunjukan.

Thursday, June 2, 2011

Negeri perlu serius sertai Liga Bola Sepak KPM

Utusan
ARKIB : 20/01/2011


MUSIM 2011 Liga Bola Sepak KPM mendapat suntikan bantuan daripada Jawatankuasa Tabung Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan yang dipengerusikan Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Bantuan jawatankuasa ini amatlah tepat kerana sekolah merupakan tempat bakat bola sepak boleh dikenalpasti dan dimajukan sehingga ke tahap yang cemerlang.

KPM mempunyai struktur dari segi membangunkan sukan termasuk bola sepak dan sukan-sukan yang lain.

Melalui Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah, Pusat Latihan Daerah, Sekolah Sukan Negeri dan Sekolah Sukan Malaysia telah diwujudkan di mana di sekolah ini akan di tempatkan murid-murid yang berbakat dalam sukan-sukan yang dipilih.

Apa yang kurang ialah sumber kewangan dan tenaga pakar khususnya, jurulatih.

Sekolah Sukan di Pahang akan siap tidak lama lagi dan sekolah ini akan menjadikan bola sepak sebagai sukan utamanya.

Padang bola telah disediakan lebih daripada yang dimiliki oleh sekolah-sekolah biasa.

Penubuhan akademi bola sepak yang akan di tempatkan di Pahang juga sepatutnya dirancang supaya tidak jauh dari sekolah sukan ini.

Dengan itu kedua-dua pusat latihan ini akan saling melengkapi dari semua sudut khususnya dari segi kejurulatihan yang boleh membantu sekolah sukan ini.

Musim Liga Bola Sepak KPM 2011 akan dilancarkan pada 5 Mac ini di Stadium Mini SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Kedah.

Dalam tempoh lima bulan dijangka pemain-pemain remaja ini akan berjaya menempuh satu musim pertandingan yang mencukupi sesuai dengan status mereka sebagai murid sekolah, yang perlu juga menghadiri kelas-kelas untuk mata pelajaran akademik.

Kita sepatutnya tidak melupakan aspek akademik supaya tidak menjejaskan masa depan pemain ini, terutamanya jika mereka gagal menjadi pemain bola sepak profesional.

Liga ini akan terus menjalani proses pembaikan dari masa ke semasa.

Jabatan Pelajaran Negeri mestilah memainkan peranan supaya pasukan negeri yang diletakkan disemua Sekolah Sukan Negeri diperkuatkan dengan pemain-pemain terbaik dari negeri berkenaan.

Dengan ini saingan di antara pasukan-pasukan yang bertanding akan menjadi lebih sengit dan kualitinya akan bertambah baik.

Negeri-negeri lain pun boleh mencapai kemenangan kalau ada unsur yang bersungguh-sungguh di setiap negeri dan ini tidak akan membolehkan hanya negeri-negeri tertentu sahaja yang membolot kejohanan. Memandangkan sukan bola sepak merupakan sukan yang tersohor bukan sahaja di negara kita tetapi di dunia maka prestasi setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Bola Sepak KPM ini sewajarnya dijadikan penilaian prestasi bagi kepimpinan di setiap negeri.