Friday, June 24, 2011

Kami mampu gegar: Kim Swee

Oleh Syed Riduan Ahmad dan Nasaruddin Parzi
2011/06/24

PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan menewaskan Lubnan 2-1 bersama penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Samir terima kekalahan tapi tetap anggap Lubnan kurang nasib baik

ONG Kim Swee menyuarakan rasa yakin skuad Olimpik negara mampu membuat kejutan di pusingan ketiga nanti selepas menyaksikan anak didiknya itu menewaskan Lubnan 2-1, malam tadi.

“Kita sedar pusingan ketiga nanti memang sukar, tetapi jika corak permainan sama dan disiplin tinggi dipamerkan, kita mampu membuat kejutan,” kata jurulatih skuad Harimau Muda itu pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebaik tamat pusingan kedua kelayakan.
“Walaupun terpaksa bertahan dengan hanya 10 pemain sepanjang 40 minit terakhir, pemain menunjukkan semangat tinggi untuk menang dan sepanjang tempoh itu juga saya tetap yakin kita mampu layak.
“Selepas ini lebih banyak halangan akan dihadapi skuad muda ini dan saya anggap ia sebagai proses pembelajaran yang tidak akan habis. Ini adalah permulaan kepada bola sepak negara.”

Malaysia layak atas agregat 2-1 selepas seri 0-0 dalam perlawanan pertama di Beirut, Ahad lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih Lubnan, Samir Saad menerima dengan hati terbuka kekalahan pasukannya yang dirasakan mempunyai lebih banyak peluang berbanding tuan rumah tetapi hanya mampu menjelmakan satu gol.

“Malaysia mencipta dua atau tiga peluang pada babak pertama tetapi berjaya menjaringkan dua gol, Lubnan pula mempunyai 10 hingga 15 peluang, tetapi hanya menyempurnakan satu gol,” kata Samir.
“Kami mempunyai lebih banyak peluang apabila Malaysia kehilangan seorang pemain, tetapi pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan padu penonton bermain dengan semangat tinggi untuk mempertahankan kelebihan.

“Bagi saya secara keseluruhan, pemain saya beraksi baik sepanjang 90 minit, cuma kami banyak terlepas peluang menyamakan kedudukan.”

1 comment:

  1. Saya khairul dari Putrajaya, saya sangat berminat untuk menyertai kursus kejurulatihan Lesen C yang akan diadakan pada di tarikh akan datang nanti.Saya memohon dari pihak tuan untuk saya mendapatkan maklumat lebih lanjut dari unit pihak tuan berkenaan menyertai kursus tersebut. Sila emailkan maklumat lanjut di ayunp9@gmail.com
    ( 019-2544919)

    ReplyDelete