Monday, July 29, 2013

KEPUTUSAN : 2013 SAITAMA INTERNATIONAL JUNIOR FOOTBALL TOURNAMENT DI SAITAMA, JEPUN


Tahniah buat pemain-pemain pasukan Projek 2019 yang bertanding di kejohanan 2013 Saitama International Junior Football Tournament kerana telah menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Saitama South FC dalam penentuan tempat ke-3 / 4. Kejayaan ini mengulangi pencapaian tahun 2012 oleh pasukan yang dibentuk melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara dalam kejohanan yang sama pada tahun lalu.

Pasukan Projek 2019 telah menjadi johan peringkat kumpulan setelah menewaskan Aichi FC dengan jaringan 1-0. Gol tunggal pasukan dijaringkan oleh pemain dari MyKids Soccer Sabah iaitu Mohd Nasip Mohd Zain. Perlawanan kedua peringkat kumpulan pula menyaksikan pasukan Projek 2019 sekadar seri 1-1 dengan pasukan Ciba FC dengan gol dijaringkan oleh pemain Mykids Soccer Kuala Lumpur, Hafizuddin Ismail.

Pasukan Projek 2019 seterusnya layak ke peringkat suku akhir dan berjaya menewaskan Okinawa FC dengan jaringan 2-0. Gol-gol dijaringkan oleh 2 penyerang berbakat iaitu Mohd Nasip dan Hafizzudin. Nasib tidak menyebelahi pasukan bawah 11 tahun Malaysia ini apabila tewas di peringkat separuh akhir kepada  Tokyo FC dengan jaringan 1-2. Gol tunggal telah dijaringkan oleh penerima Anugerah Penyerang terbaik di Kejohanan Cappy Cup Croatia 2013 yang lalu iaitu, Luqman Hakim Shamsuddin daripada Mykids Soccer Kelantan.

Namun begitu semangat pasukan ini tidak pernah luntur dan akhirnya menebus kekalahan diperingkat separuh akhir dengan menewaskan Saitama South FC untuk penentuan tempat ke-3. Johan tahun ini milik pasukan bawah 12 tahun Thailand yang menewaskan Tokyo FC pada perlawanan akhir. Syabas diucapkan kepada semua pemain dan pegawai pasukan. Semoga Program Pembangunan Bola Sepak Negara ini terus menggilap bakat-bakat muda untuk masa depan bola sepak negara.


"Ke Arah Kecemerlangan Sukan"



No comments:

Post a Comment