Friday, June 3, 2011

Kompleks Futsal Putrajaya dirasmikan

Oleh HELMI TALKAH


SULTAN Ahmad Shah menandatangani plak ketika merasmikan Gelanggang Mokhtar Dahari sambil disaksikan Shabery (dua dari kiri) dan timbalannya, Datuk Razali Ibrahim (kanan) di Kompleks Futsal Putrajaya semalam.


KOMPLEKS Futsal Putrajaya telah dibuka secara rasminya semalam.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan Kompleks Futsal Putrajaya yang menelan kos RM3.4 juta itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, fasa pertama pembinaan kompleks di Presint 18, Putrajaya itu berjaya disiapkan dalam tempoh 40 hari.

“Secara keseluruhannya, kompleks ini menempatkan 11 buah gelanggang dan pembinaan setiap gelanggang tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Ini merupakan fasa pertama manakala fasa kedua dijangka siap sepenuhnya November depan.

“Satu gelanggang utama yang diberi nama Gelanggang Mokhtar Dahari akan dijadikan sebagai gelanggang tertutup dengan dilengkapi 1,000 tempat duduk grand stand,” jelas Shabery semasa berucap pada majlis perasmian kompleks itu di Putrajaya semalam.

Shabery menambah, kompleks futsal yang baru siap dibina itu akan menjadi gelanggang rasmi bagi penganjuran Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Mei ini sempena sambutan Hari Belia Negara 2010.

Pada kejohanan tersebut, lima kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 18 Tahun, Lelaki Bawah 12 Tahun dan kategori baru iaitu Larut Malam.

Sempena majlis perasmian Kompleks Futsal Putrajaya semalam, satu kejohanan mini futsal turut diadakan melibatkan beberapa syarikat korporat di negara ini.


SULTAN Ahmad Shah (kanan) diiringi Shabery (tengah) dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman (kiri) melawat Gelanggang Mokhtar Dahari di Putrajaya semalam.


Tujuan kejohanan itu diadakan adalah bagi mengumpul dana Tabung Pembangunan Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lalu.

Antara syarikat yang memberikan sumbangan ialah 100Plus, Astro, Aiman Motor Sdn. Bhd. dan Berjaya Group apabila masing-masing menyalurkan wang tunai berjumlah RM10,000.

“Sejak tabung ini dilancarkan oleh Perdana Menteri dengan suntikan dana permulaan sebanyak RM10 juta, kini sebuah Jawantankuasa Tabung Bola Sepak Negara ditubuhkan.

“Buat masa ini, jawatankuasa berkenaan masih belum mempunyai pengerusi tetap dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai pengerusi sementara.

“Dengan penubuhan jawatankuasa ini, pelbagai program terhadap pembangunan bola sepak negara sedang giat diusahakan termasuk satu perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama kelab England, Everton pada 9 Mac lalu,” kata Shabery.

Jawatankuasa tersebut dianggotai wakil-wakil dari Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pihak media dan wakil kelab penyokong.

Dalam pada itu, Perbadanan Putrajaya muncul juara kejohanan mini futsal apabila membenam MSN 2-0 pada aksi final.

Pasukan pilihan Menteri Belia dan Sukan pula terpaksa akur dengan kehebatan pasukan pilihan FAM apabila tewas 1-5 pada perlawanan pertunjukan.

1 comment:

  1. saya amat berminat dengan program ini..jadi bagaimana cara saya hendak menghantar murid saya untuk mengikuti program dan kejohanan ini..

    ReplyDelete