Monday, July 30, 2012

2012 Saitama International Junior Football Tournament U12 – Hari Keenam







































Salam Ramdhan dari Saitama,

Hari ini merupakan hari keenam kejohanan dan merupakan hari terakhir bagi kejohanan ini. Pada hari ini akan dijalankan perlawanan bagi penentuan tempat ke 3 dan ke 4 serta perlawanan akhir. Malaysia akan beraksi di perlawanan penentuan bagi tempat ke 3 dan ke 4 menentang Pasukan Kebangsaan Thailand yang merupakan juara bertahan kejohanan ini pada tahun 2011. Kami bergerak ke Stadium Saitama pada jam 9.00 pagi. Pemain begitu bersemangat untuk menebus kekalahan pada separuh akhir semalam dan bertekad untuk menjinakkan Thailand bagi merebut tempat ke 3 dalam kejohanan ini. Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan ini ialah tempat ke 3 yang dicapai pada tahun 2005 iaitu 7 tahun yang lepas. Thailand pada kali ini membariskan pasukan kebangsaan bawah 12 tahun mereka di samping membawa pasukan bantuan yang cukup lengkap termasuk kitman, cameraman dan juga penganalisis perlawanan. Pegawai dari Kedutaan Thailand juga turut hadir bagi memberi semangat kepada pasukan ini. Namun semua ini tidak menggugat semangat pemain Malaysia. Berikut merupakan analisis perlawanan terbabit :

Malaysia vs Thailand
Venue : Stadium Saitama, 2nd Ground
Jam : 12.00 tengahari waktu Jepun ( 11 pagi waktu Malaysia )

Perlawanan bermula rancak dengan Thailand melancarkan serangan bagi mencari kelebihan gol di awal permainan. Skil individu dan taktikal permainan antara 2 pasukan tidak banyak berbeza. Thailand bermain agak keras dalam perlawanan ini. Walaupun begitu, pemain Malaysia tetap tenang dalam menghadapi taktik permainan pasukan Thailand. !0 minit pertama Thailand banyak melancarkan serangan ke kubu pasukan Malaysia. Hasil dari serangan ini, Thailand berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke  8 melalui set piece dari sepakan percuma. Hasil dari gol ini, jurulatih telah melakukan beberapa perubahan taktikal dengan memasukkan beberapa pemain yang mempunyai kelebihan larian. Strategi ini memberi hasil dengan Malaysia melancarkan beberapa serangan yang mencemaskan kubu Thailand. Pada separuh masa pertama, Malaysia melancarkan 5 kali percubaan dengan 2 percubaan tepat ke arah gol.

Pada separuh masa kedua, Malaysia menukar rentak permainan dengan mengamalkan corak permainan menyerang. Pada minit ke 15, hasil daripada sepakan penjuru, Malaysia berjaya menjaringkan gol melalui tandukan cantik dari pemain pertahanan negara iaitu Arham Khusairi. Gol ini menyaksikan Thailand gagal mengimbangi corak permainan Malaysia dengan Malaysia berjaya melancarkan beberapa serangan namun tiada penyudah gol yang berjaya dilaksanakan. Tamat masa penuh permainan dengan kedua pasukan terikat satu sama.

Akhirnya, perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti. Pemain negara masih lagi dihantui dengan kekalahan kepada Saitama dengan sepakan penalti pada perlawanan separuh akhir. Jurulatih memberi motivasi dan keyakinan kepada pemain untuk lebih berani bagi mengambil sepakan penalti. Keadaan genting dengan pasukan Thailand dan Malaysia berbalas gol dalam penalti ini sebelum penjaga gol Malaysia iaitu Mifzal Haziq muncul wira pasukan dengan menyelamatkan 2 sepakan penalti dari Thailand. Keputusan penuh Malaysia menang dengan sepakan penalti dengan jaringan 4 gol berbalas 3.

Sementara perlawanan  akhir kejohanan ini menemukan dua pasukan berikut :

Saitama vs Saitama South
Venue : Stadium Saitama, Main Pitch
Jam : 1.30 petang waktu Jepun ( 12.30 tengahari waktu Malaysia )

Corak permainan laju dan skil kemahiran tinggi dipertontonkan oleh kedua pasukan dalam perlawanan ini. Apa yang menarik dalam perlawanan ini ialah ia dikendalikan seperti perlawanan profesional di mana dalam umur yang masih muda, pemain - pemain yang beraksi dalam perlawanan akhir ini didedahkan dengan suasana perlawanan sebenar di stadium utama. Ketika perlawanan berlangsung, aksi pemain - pemain ini turut dipaparkan di scoreboard utama stadium. Pada akhir perlawanan, pasukan Saitama South menang dengan jaringan 2 berbalas 1. Gol kemenangan diperolehi melalui sepakan lambung yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Saitama yang menyaksikan bola bergolek masuk ke dalam gol dan menyaksikan Saitama South dinobatkan selaku juara kejohanan ini. Acara penyampaian hadiah berlangsung pada jam jam 2.30 petang dan disampaikan oleh Gabenor Saitama iaitu Mr. Kiyoshi Ueda.

Berakhir sudah 2012 Saitama International Junior Football Tournament U12 dengan pasukan Malaysia berjaya mengulangi pencapaian terbaik pada tahun 2005 dengan berjaya menduduki tempat ke 3 daripada keseluruhan 24 pasukan yang bertanding. Dari 6 pasukan negara jemputan, Malaysia  berjaya mempamerkan aksi yang terbaik dengan berjaya memperolehi tempat ke 3. Banyak yang masih perlu dipelajari oleh pemain - pemain Malaysia untuk bersaing terutamanya dengan Negara Jepun yang terkenal dengan motto " Training with your rivals ". Jepun menganjurkan kejohanan ini dengan strategi untuk mendedahkan pemain - pemain remaja mereka yang bermula dengan umur 12 tahun dengan corak permainan pasukan dari negara luar.

Pada 30 Julai 2012, kami akan bertolak pulang dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH 0089 yang dijadualkan akan berlepas pada jam 1030 pagi dari Lapangan Terbang Narita dan dijangka sampai di KLIA pada jam 4.45 petang. Sekian sahaja laporan terakhir dari Saitama untuk kejohanan ini.

Arigato Gozaimas.
Mata Aimasho.

Mohd Fairul Fadzli Bin Ahmad Muzni

1 comment: