Friday, July 27, 2012

2012 Saitama International Junior Football Tournament U12 – Hari Ketiga










































Salam Ramadhan dan Konban-wa dari Saitama,

Program hari ketiga diteruskan seawal jam 8.00 pagi dengan upacara penyerahan semula para pemain yang bermalam di rumah keluarga angkat masing - masing kepada pasukan Malaysia yang dijalankan di Mini Stadium Asaka. Walaupun hanya meluangkan masa selama 1 malam bersama keluarga angkat masing - masing, para pemain tidak kelihatan kekok untuk menyesuaikan diri bersama dengan keluarga angkat. Selesai majlis penyerahan terbabit, kami bertolak ke Stadium Saitama yang terletak di Midori- ku, Saitama pada jam 9.00 pagi. Setibanya di Stadium, kami dibawa untuk melawat kawasan Stadium Saitama. Semua pasukan jemputan dari luar negara di bawa melawat stadium ini secara mengikut giliran. Giliran Pasukan Malaysia adalah bersama dengan Pasukan Incheon, Korea. Untuk makluman, stadium ini merupakan stadium terbesar di Jepun dengan kapasiti penonton sebanyak 62,700 orang. Stadium ini merupakan home grown bagi kelab terkemuka Jepun iaitu Urawa Reds. Aura Urawa Reds begitu memberi kesan kepada stadium ini. Dibina oleh Azusa Sekkei bagi tujuan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun 2002. Stadium ini mengambil masa 5 tahun untuk disiapkan dan siap dibina pada September 2001. Stadium ini menjadi tuan rumah kepada empat perlawanan semasa Piala Dunia 2002 termasuk perlawanan pertama tuan rumah iaitu Jepun menentang Belgium yang berkesudahan seri 2 - 2. Stadium ini juga menyaksikan Brazil menewaskan Turki 1 - 0 untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir di mana Brazil muncul juara Piala Dunia pada tahun tersebut.

Para pemain diberikan imganisasi untuk menjadi pemain profesional dalam lawatan ini. Mereka dibawa melawat bilik menunggu pemain sebelum perlawanan, bilik persalinan, tempat temuramah pemain sebelum dibawa masuk ke padang utama sepertimana perlawanan sebenar. Apa yang menarik mengenai stadium ini ialah bilik warm up pemain terletak bersebelahan bilik persalinan pemain.Walaupun sudah berusia 10 tahun, namun kondisi stadium ini kelihatan masih baru akibat penjagaan yang amat teliti.Setelah selesai melawat stadium, pada jam 1.30 petang, program diteruskan dengan upacara sambutan rasmi pasukan - pasukan dari luar negara yang dijalankan di Ball Room, Stadium Saitama. Acara ini dihadiri sendiri oleh Gabenor Saitama iaitu Mr. Kiyoshi Ueda yang secara tidak langsung menunjukkan betapa kejohanan ini dijalankan secara serius oleh pihak penganjur walaupun penyertaan pada peringkat umur 12 tahun. Pasukan dari luar negara juga turut diperkenalkan kepada Gabenor Saitama.

Setelah berakhirnya majlis tersebut, pasukan Malaysia diberikan masa selama 1 jam untuk menjalani latihan ringan di Padang 3, Stadium Saitama yang terletak di luar stadium. Cuaca begitu panas dengan suhu dianggarkan sekitar 34 darjah celcius. Para pemain dinasihatkan supaya mengambil minuman dalam kapasiti yang banyak bagi mengelakkan rehidrasi. Latihan ini dijalankan bagi menyesuaikan pemain dengan keadaan cuaca di Jepun yang agak panas. Selepas berakhirnya sesi latihan, pasukan terus pulang ke hotel penginapan iaitu Urawa Washington Hotel untuk mendapat rehat yang cukup memandangkan pemain akan bermain 2 perlawanan yang amat kompetetif pada esok harinya. Berikut adalah merupakan jadual perlawanan bagi pasukan Malaysia pada 27 Julai 2012 :

Malaysia vs Saitama West
10.00 pagi ( 9.00 pagi waktu Malaysia )

Malaysia vs Tokyo Blue
2.00 petang ( 1.00 petang waktu Malaysia ).

Berikut merupakan susunan kumpulan bagi Kejohanan ini :

Kumpulan A
Malaysia, Saitama West , Tokyo Blue

Kumpulan B
Chiba, Australia, Koshigaya City

Kumpulan C
Tokyo White, China, Saitama

Kumpulan D
Ibaraki, Kumamoto, Kawaguchi City

Kumpulan E
Okinawa, Thailand, Asaka City

Kumpulan F
Aichi, Incheon Korea, Saitama east

Kumpulan G
Okayama, Oahu USA, Saitama North

Kumpulan H
Saga, Satte City, Saitama South

Johan bagi setiap kumpulan akan berentap di peringkat suku akhir yang akan dijalankan pada 28 Julai 2012.Diharapkan pasukan ini dapat memperbaiki pencapaian terbaik pasukan Malaysia pada tahun 2005 yang berjaya menduduki tempat ketiga Doakan moga kejayaan bersama pasukan Malaysia. Sekian sahaja laporan saya dari Bandaraya Saitama untuk hari ketiga kejohanan.

Mata Aimasho.

Mohd Fairul Fadzli Bin Ahmad Muzni
Pengurus Pasukan Bola Sepak Malaysia (Bawah 12 Tahun)

No comments:

Post a Comment