Monday, July 30, 2012

2012 Saitama International Junior Football Tournament U12 – Hari Keempat

Salam Ramdhan dari Saitama,

Hari ke empat kejohanan dimulakan dengan pergerakan pasukan dari hotel penginapan ke Stadium Saitama. Pada hari ini perlawanan peringkat kumpulan akan bermula. Selepas menjalani latihan intensif selama kurang lebih dari sebulan, hari ini akan menentukan sejauh mana kemampuan pasukan Malaysia. Perjalanan dari hotel penginapan ke Stadium Saitama mengambil masa 45 minit. Sampai sahaja di stadium, pasukan ditempatkan di dalam khemah menunggu yang dikhaskan untuk pasukan Malaysia. Para pemain terus menjalankan warm - up di tempat yang telah disediakan. Tempat warmup terbabit terletak di luar stadium dan ditutupi dengan menggunakan rumput artifikal. Ringkas dan efektif.

Malaysia memulakan perlawanan pertama dengan bertemu Saitama West pada jam 10.00 pagi ( 9.00 pagi waktu Malaysia ). Berikut merupakan analisis perlawanan terbabit :

Bahagian serangan berindak baik dalam melancarkan serangan dalam perlawanan ini. Pasukan juga memaksimakan kawasan permainan dengan sentiasa menukar side dan corak serangan. Mencipta banyak peluang dengan 7 percubaan tepat ke arah gol dan berjaya menghasilkan 3 gol di separuh masa pertama. Gol - gol tersebut dijaringkan oleh Muhammad Hadi Fayadh  pada minit ke - 4, Muhammad Iqbal Hakiml pada minit ke - 6 dan Muhammad Izreen pada minit ke - 9. Malaysia mendahului dengan jaringan 3 gol tanpa balas pada separuh masa pertama.  Namun begitu, tempo permainan pasukan agak perlahan di separuh masa kedua walaupun penguasaan bola masih dikawal oleh pasukan Malaysia. Pada minit ke 39, Malaysia berjaya menambah jaringan melalui Wan Muhammad Fitri pada minit ke 39. Barisan pertahanan negara juga beraksi cemerlang dengan permainan teratur dallam mengekang asakan pihak lawan. Barisan pertahanan juga sentiasa dapat membaca corak serangan pihak lawan dan ini menjadikan kubu pertahanan negara tidak dibolosi sehinggalah pada minit ke 42 bila Saitama West berjaya memperolehi gol saguhati.

Secara keseluruhannya pemain bermain dengan baik dan menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi ketika perlawanan. Peluang yang dicipta juga digunakan sebaik mungkin bagi menjaringkan gol. Keputusannya ialah Malaysia menang dengan jaringan 4 gol berbalas 1.

Pada perlawanan kedua Malaysia bertemu Tokyo Blue pada jam 2 petang. Berikut merupakan analisa perlawanan terbabit :

Dengan suhu sekitar 34 darjah celcius, cuaca begitu panas dan agak kering. Selepas 3 jam berehat selepas perlawanan yang pertama, tempo permainan pasukan agak perlahan dengan pasukan Tokyo Blue sentiasa melancarkan serangan. Walaupun begitu barisan tengah dan pertahanan sentiasa berjaya mengekang serangan pihak lawan. Malaysia mencipta 4 percubaan ke arah gol namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol pasukan lawan. Akhirnya melalui 1 serangan balas pihak lawan, mereka berjaya menghasilkan gol pada minit ke 15. Ketinggalan dengan 1 gol tidak mematahkan semangat pemain negara untuk terus beraksi. Pada separuh masa kedua, barisan jurulatih melakukan 2 pertukaran yang memberi impak yang besar kepada pasukan. Hasilnya pada minit ke 26, pemain gantian iaitu Mohammad Firdaus telah berjaya menjaringkan 1 gol. Gol ini telah menaikkan semangat pasukan Malaysia untuk terus melancarkan serangan. Akhirnya,melalui satu gerakan individu yang menarik daripada pemain gantian iaitu Wan Muhammad Fitri, berjaya menghasilkan gol kemenangan Malaysia pada minit terakhir perlawanan iaitu minit ke 33. Malaysia menang dengan jaringan 2 gol berbalas 1.Faktor cuaca dan persekitaran menjadikan pemain cepat letih namun semangat berpasukan telah memastikan kemenangan mutlak pasukan Malaysia. Secara keseluruhanya, kredit patut diberikan kepada pemain - pemain muda negara ini yang bermain bersungguh - sungguh pada perlawanan ini walaupun ketinggalan pada awal permainan. Pemain - pemain Tokyo Blue juga menunjukkan satu kualiti permainan yang menarik dengan skil - skil individu dan kawalan bola yang begitu baik. Namun gol dari Wan Muhammad Fitri berjaya menjamin slot Malaysia ke peringkat suku akhir. Tiada pemain yang mengalami kecederaan.

Pada hari esoknya, sebagai johan Kumpulan A Malaysia akan bermain di peringkat separuh akhir dengan bertemu  Chiba FC yang muncul sebagai juara Kumpulan B. Berikut merupakan jadual perlawanan untuk 28 Julai 2012 :

Malaysia vs Chiba FC
Venue : Hachioji A

Saitama vs Ibaraki
Venue : Hachioji B

Thailand vs Aichi
Venue : Red Land A

OAHU USA vs Saitama South
Venue : Red Land B

Semua perlawanan akan bermula pada jam 10.00 pagi. Diharapkan pemain muda negara akan memenangi perlawanan suku akhir ini dan seterusnya layak ke peringkat seterusnya. Sekian sahaja laporan saya dari Saitama, Jepun.

Mata Aimasho.

Mohd Fairul Fadzli Bin Ahmad Muzni

No comments:

Post a Comment