Thursday, July 26, 2012

2012 Saitama International Junior Football Tournament U12 – Hari Kedua

Salam,

Program hari kedua diteruskan dengan pasukan bergerak ke bandar Asaka
pada jam 8.15 pagi dengan menggunakan bas. Para pemain sibuk menghafal
Bahasa jepun yang akan digunakan sebagai medium komunikasi bersama
keluarga angkat. Perjalanan dari hotel penginapan ke Bandar Asaka
mengambil masa kurang lebih 1 jam. Kepadatan penduduk di bandar ini
ialah dianggarkan sebanyak 130,000 orang. Sampai sahaja di Bandar
Asaka, kami dibawa melawat sekitar Asaka dengan destinasi pertama
ialah Muzium Asaka yang memaparkan teknologi yang digunakan oleh
masyarakat Jepun dari zaman dahulu sehingga sekarang. Lokasi kedua
lawatan ialah Pusat Komuniti Asaka yang menempatkan fasiliti sukan
pelbagai guna dan juga sebagai tempat kegiatan masyarakat di Daerah
Asaka. Terdapat kemudahan sukan yang lengkap seperti gymnasium,
gelanggang futsal, dewan badminton dan lain - lain lagi. Para pemain
juga turut diberikan peluang untuk mencuba seni pertahanan tradisional
Jepun iaitu Shorinji Kempo yang diasaskan oleh Doshin So pada tahun
1947.

Kemudian kami bertolak ke Majlis Perbandaran Asaka di mana satu majlis
sambutan untuk Pasukan Malaysia dijalankan di lokasi tersebut. Kami
disambut dengan mesra oleh komuniti terbabit dan ini tidak
menghairankan memandangkan rakyat Jepun memang terkenal dengan budi
bahasa yang baik dan layanan yang mesra. Majlis tersebut turut
dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Asaka, Pengarah Pendidikan
Daerah Asaka serta Jawatankuasa Penganjur Program Anak Angkat ini.
Destinasi seterusnya adalah Planeterium Asaka di mana sesi perkenalan
di antara Pasukan Malaysia dan juga Pasukan B12 tahun Daerah Asaka
dijalankan. Selepas sesi perkenalan, video berkenaan astrologi telah
ditayangkan kepada kedua-dua pasukan. Ini merupakan medium yang
digunakan oleh pihak penganjur di mana selain daripada konsep
pertandingan, konsep pertukaran budaya dan penekanan kepada
pengembangan ilmu juga turut dititik beratkan dalam program kejohanan
ini.

Selepas sesi tayangan video, pasukan bergerak ke Mini Stadium Asaka
untuk perlawanan persahabatan bersama Pasukan B12 Daerah Asaka.
Perlawanan dijalankan pada jam 3.00 petang. Pasukan Malaysia menang
dengan jaringan 1 gol tanpa balas. Gol hasil jaringan pemain berjersi
14 iaitu Muhammad Izreen pada minit ke 34 perlawanan. Pada separuh
masa pertama sebanyak 5 percubaan dihasilkan oleh Pasukan Malaysia
dengan 2 percubaan tepat ke arah gol. Sementara penguasaan bola ialah
50 - 50. Pada separuh masa kedua, sebanyak 7 percubaan telah
dihasilkan dengan 4 percubaan tepat ke arah gol dan 1 gol telah
dijaringkan. Penguasaan bola ialah 70 peratus oleh Malaysia dan 30
peratus oleh Asaka. Mengikut makluman jurulatih Asaka, 3 orang pemain
yang lahir daripada program pembangunan bola sepak Daerah ini berada
dalam skuad olimpik Jepun yang layak beraksi di Olimpik London 2012.

Selepas berakhir perlawanan, pada jam 6.00 petang para pemain
mengikuti proses penyerahan kepada keluarga angkat masing - masing.
Terdapat 9 keluarga angkat yang sudi mengambil para pemain Malaysia
sebagai anak angkat mereka. Keluarga terbabit ialah keluarga Mataga,
Okamura, Takeda, Mizushina, Tahara, Takahashi, Yamamoto, Murakami dan
Urugami. Para pemain akan bermalam di rumah keluarga angkat masing -
masing selama 1 malam sebagai melambangkan proses pertukaran budaya di
antara kedua buah negara. Program ini turut diserikan dengan
persembahan live pemuzik yang memainkan alat muzik tradisional Jepun.

Program akan bersambung pada hari ketiga kejohanan dengan esok
dijdualkan akan berlangsung Majlis perasmian kejohanan yang akan
dijalankan di Stadium Saitama. Sekian dahulu laporan dari Saitama,
Jepun. Semoga berjumpa di laporan seterusnya.

Mohd Fairul Fadzli Bin Ahmad Muzni

2 comments:

  1. keep updating the news.. goodluck MALAYSIA

    ReplyDelete
  2. Way to go .. Malaysia!

    ReplyDelete