Thursday, October 4, 2012

HARIMAU MUDA B KE TURKI

KUALA LUMPUR - Bukan Slovakia atau Brazil seperti yang diuar-uarkan sebelum ini menjadi destinasi skuad belia negara khususnya Harimau Muda A, sebaliknya Pusat Latihan Antalya, Turki yang bakal menyambut Harimau Muda B mulai pertengahan November ini. Dengan meneruskan matlamat untuk menjadikan skuad bawah 19 tahun itu sebagai pembekal pemain kebangsaan, mereka bakal ke sana selama sebulan dan dijadualkan menghadapi enam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara, Dato' Razali Hj. Ibrahim berkata, kem latihan dan enam perlawanan itu bertujuan pendedahan memandangkan pusat latihan Antalya turut menempatkan beberapa lagi pasukan bawah umur negara lain dan tuan rumah.

"Penghantaran pasukan ini turut akan meneruskan matlamat menjadikannya (skuad Harimau Muda) sebagai pembekal pemain kebangsaan," kata Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa di Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Difahamkan siri persahabatan itu turut melibatkan pasukan belia Norway di samping dua lagi pasukan yang akan dikenalpasti kelak dan kemungkinan sebuah pasukan bawah 19 tahun Turki sendiri. Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato' Azzuddin Ahmad menjelaskan, cadangan ke Slovakia tidak dapat diteruskan kerana tarikhnya berada di luar musim liga dan tiada pasukan yang dapat mengesahkan bagi perlawanan persahabatan.

"Rancangan ke Brazil seperti yang disebut-sebut sebelum ini cuma satu undangan melawat sebuah pusat latihan bola sepak di sana yang terletak 350 kilometer dari Sao Paolo dan bukannya tawaran bermain dalam mana-mana liga mereka (bagi Harimau Muda A atau B)," jelasnya. Kata Razali, matlamat Program Pembangunan Bola Sepak Negara yang dikendalikan jawatankuasanya kini diperluaskan kepada mencapai kelayakan ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 17 dan 20 Tahun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2019.

"Terdapat 1,647 pemain di bawah program ini yang berada di Pusat Latihan Daerah di kesemua 14 negeri dan kami akan cuba melantik tambahan 98 jurulatih baru selain membuka dua pusat di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

"Sebanyak 90 peratus daripada mereka, akan ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar dan Gambang, Kuantan. Mereka bakal dikecualikan bermain sukan lain supaya khusus kepada bola sepak sahaja," katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121003/su_03/Harimau-Muda-B-ke-Turki



1 comment:

  1. Adidas F50 Adizero XTRX SG untuk dijual (baru,tak pernah pakai)..saiz 9 uk..sebab jual,salah saiz..ori 1st gred,boleh tengok dulu utk sesape yg kt area jb..luar jb,boleh pos..

    http://www.mudah.my/Adidas+F50+Adizero+XTRX+SG-18102894.htm

    ReplyDelete